Senin, 27 Desember 2010

Iman seseorang perlu selalu diperbaruhi

AKIDAH adalah inti sari utama dan tunjang terpenting dalam ajaran Islam.
aqidah.jpg
Akidah ini jugalah yang mesti mendasari dan menunjangi dalam setiap gerak geri dan aspek kehidupan kita. Tanpanya, maka sia-sialah saja amalan yang dilakukan oleh seseorang manusia di sisi Allah dan dia pastinya termasuk ke dalam golongan rugi di akhirat kelak.
Akidah Islam ini adalah enam rukun asas yang menjadi titik tolak dan penentu kepada keimanan seseorang kepada Allah.
Rukun Iman itu ialah beriman kepada Allah, beriman kepada malaikat, beriman kepada nabi dan rasul, beriman kepada kitab, beriman kepada hari akhirat dan akhirnya beriman kepada qada dan qadar sebagaimana jawapan Rasulullah apabila ditanya seorang lelaki mengenai makna iman, lantas Baginda bersabda:
“Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, para Nabi dan Rasul-Nya, Kitab-Nya, hari Akhirat dan kamu beriman dengan qadar-Nya, baik dan buruknya.” (Hadis riwayat Muslim).
Dalam kehidupan seharian, kekuatan iman yang bertapak dalam jiwa sanubari muslim ada pasang surutnya atau naik turunnya. Alam semesta ciptaan Ilahi terhampar pelbagai cabaran dan ujian di sepanjang perjalanan hidup manusia.
Cabaran dan ujian sama ada kenikmatan atau kesusahan semua mempunyai kaitan amat rapat dengan iman yang bertakhta dalam jiwa Muslim.
Jika Muslim itu kuat imannya kepada Allah, maka segala cabaran dan ujian yang dihadapinya adalah satu gilapan terhadap imannya agar bertambah kukuh dan mantap.
Sebaliknya jika dia lemah imannya, maka segala cabaran dan ujian yang diharungi itu hanya mengakibatkan dia makin jauh daripada rahmat Ilahi.
Oleh itu, Rasulullah selalu memperingatkan umatnya melalui sabdanya yang bermaksud:
“Perbaharuilah iman kamu sekalian. Sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya memperbaharui iman kami? Ujar baginda: Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam satu hadis lain, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Iman seseorang boleh menjadi usang dan lusuh seperti usang dan lusuhnya sehelai pakaian. Maka hendaklah kamu memohon ke hadrat Allah supaya memperbaharui iman kamu yang ada dalam hatimu.” (Hadis riwayat Tabrani dan Hakim)
Jelas daripada sabda Rasulullah betapa pentingnya tajdid iman dilakukan setiap Muslim agar iman dapat digilap dan diperkukuhkan supaya menjadi lebih utuh dan jitu. Tajdid secara etimologinya merujuk kepada memperbaharui, menilai, membangkitkan dan menghidupkan.
Tajdid dengan makna ini perlu dilakukan untuk menilai kembali kefahaman dan pengamalan umat Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
Kefahaman dan pengamalan umat Islam boleh jadi terpesong atau menyimpang daripada landasan Islam sehingga ia menuntut tajdid ke arah kefahaman sebenar.
Dalam kata lain, tajdid dalam kerangka pengertian pertama sering kali difahami oleh kebanyakan umat Islam sebagai islah atau pemurniaan Islam daripada segala jenis khurafat dan bidaah.
Tajdid lebih menjurus ke arah menghidupkan kembali roh ajaran Islam dalam setiap aspek kehidpan umat Islam sejagat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar