Senin, 27 Desember 2010

Muslim sejati faham kodrat ilahi

Iman seseorang diukur berdasarkan kepatuhan, pelaksanaan perintah Tuhan
TUNTUTAN pertama ke atas seorang Muslim ialah menjadi Muslim dan mukmin yang beriman dengan sebenar-benarnya kepada Tuhannya. Dengan keimanan teguh itu, dia dapat berhubung dengan Tuhannya dan sentiasa mengingatinya serta bertawakal atau menyerah diri kepadanya. Selain memohon pertolongan kepada-Nya, dia juga akan berasakan dalam lubuk jiwanya bahawa dia sangat berhajat dan sentiasa perlu kepada kekuatan Allah dari segi bantuan dan sokongan-Nya sekalipun dia berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.
muslimworships.jpgMuslim sejati dan benar adalah manusia yang sedar hati dan jiwanya, celik pemikirannya dan terbuka pintu imannya. Dengan menghayati segala keindahan ciptaan Allah yang terbentang di seluruh alam, akan tercetus satu keyakinan bahawa ada satu kekuasaan yang Maha Tinggi yang mengendalikan segala urusan alam dan urusan manusia.
Sehubungan itu, seseorang Muslim itu akan sentiasa mengingati Allah serta sentiasa melihat kudrat kekuasaan-Nya yang tidak terbatas pada setiap detik dan ketika lalu akan bertambahlah imannya kepada Allah yang memiliki segala kekuasaan itu.
Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran: 190)
Ukuran iman seseorang Muslim diukur berdasarkan kepatuhan dan pelaksanaannya terhadap perintah rohaninya. Ia termasuk dari sebesar-besar perkara hinggalah kepada yang sekecil-kecilnya tanpa rasa takut, segan dan berkecuali. Kepatuhan itu meliputi taat setia kepada semua perintah Tuhannya, beribadah dengan penuh khusyuk, mematuhi batas agama serta menunaikan perintah-Nya sekalipun bertentangan dengan kehendak hawa nafsunya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (perintah-perintah Allah).” (An-Nawawi)
Seorang Muslim juga adalah seorang yang menyedari tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Justeru, segala kelalaian, kecuaian dan keterlaluan terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya dilakukan dirinya atau salah seorang daripada anggota keluarganya akan disoal di hadapan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan disoal berkenaan orang-orang yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim – 41/592)
Sesungguhnya, Muslim yang benar adalah yang yakin di dalam jiwanya bahawa beriman dengan qada’ dan qadar Allah. Segala perkara menimpanya di dalam hidup ini tidak dapat dielakkan kerana sudah ditakdirkan Allah kepadanya dan dia tidak dapat menolaknya. Keredaan kepada qada dan qadar Allah akan memberikan kesempatan kepadanya untuk memperoleh ganjaran yang banyak daripada Allah dan dicatatkan di sisi Allah sebagai mukmin yang taat dan berjaya.
Dalam kehidupan seorang mukmin, kadang-kadang berlaku kesilapan seperti terlupa, terlalai, tergelincir dan jatuh ke dalam kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku ke atas mukmin yang sentiasa taat dan khusyuk kepada Tuhannya. Dalam masalah ini, langkah terbaik adalah segera beringat dan insaf lalu terus sedar daripada lupanya dan meminta ampun di atas kecuaiannya. Dia akan segera kembali semula pada perlindungan Tuhannya yang disertai dengan hati yang takut dan sentiasa memohon keampunan Tuhannya.
Di samping itu, Muslim sebenar juga sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan amalannya. Segala gerak-geri hidupnya hanya untuk mencapai keredaan Allah dan bukan mengharapkan keredaan manusia. Kadangkala dia terpaksa berhadapan dengan kebencian manusia disebabkan usaha dan amalannya ke arah mendapatkan keredaan Allah. Oleh itu, dia mengukur dan menimbang segala amal dan usahanya dengan timbangan keredaan Allah. Setiap perkara diredai Allah akan sentiasa menjadi amalan perbuatannya.
Keadaan kini menunjukkan ada golongan yang kita lihat bersembahyang khusyuk di masjid tetapi individu sama terbabit dengan perkara dan tingkah laku diharamkan Allah. Tidak kira di mana sama ada di pasar, rumah, sekolah, jalan, dalam persatuan atau kelab, malah di mana-mana saja.
Mereka ini ditimpa satu pertentangan dan percanggahan dalam memahami hakikat agama sebenar. Ia kerana, agama sepatutnya menjadi panduan Muslim itu dalam segala usahanya yang membuatkan dia menimbang segala perkara dengan neraca keredaan tuhan. Jika hal itu terjadi, akan wujud dualisme dalam diri seorang Muslim iaitu separuh Muslim dan separuh lagi bukan Muslim. Sekiranya ini berlaku, maka ketahuilah betapa bahaya yang sangat besar dan ujian yang sengit menimpa Muslim pada zaman ini.
Muslim sebenar turut mengambil kira tanggungjawabnya untuk menunaikan segala rukun dan kewajipan Islam dengan sempurna tanpa melalaikannya atau mempermudah-mudahkannya. Muslim itu akan sentiasa menegakkan solat fardu lima waktu sehari semalam tepat pada waktunya kerana solat itu tiang agama. Sesiapa yang menegakkan maka dia menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya dia sudah meruntuhkan agamanya.
Solat itu juga adalah perhubungan antara hamba dengan tuhan. Di dalam solat, manusia meninggalkan segala kesibukan dunia dan menghadap sepenuhnya kepada Allah serta memohon supaya sentiasa istiqamah di atas jalan yang benar dan lurus. Di samping itu, seorang muslim yang bertakwa akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadiri solat jemaah dijanjikan dengan ganjaran lebih besar berbanding sembahyang bersendirian.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Solat Jamaah itu adalah lebih mulia dari solat berseorangan dengan kelebihan sebanyak dua puluh tujuh darjat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim – 11/618)
Bagi mencapai segala impian tinggi itu dan seterusnya merealisasikan pembentukan seorang Muslim yang kuat dan mantap adalah disarankan agar kita sentiasa kembali kepada al-Quran dengan bernaung di bawah lindungan serta mengikuti segala aspek ajarannya untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah sebenar daripada Maha Pencipta iaitu Allah.
Untuk itu, adalah perlu bagi kita untuk sentiasa membaca al-Quran, memikirkan, merenung, mengkaji dan bertadabbur (memahami) al-Quran dengan penuh khusyuk yang pastinya akan dipraktikkan dalam segenap urusan kehidupan kita.
FAKTA :
  • Muslim sejati dan benar adalah manusia yang sedar hati dan jiwanya, celik pemikirannya dan terbuka pintu imannya dengan menghayati segala keindahan ciptaan Allah.
  • Seorang muslim juga menyedari tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Segala kelalaian, kecuaian dan keterlaluan terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya dilakukan akan disoal di hadapan Allah SWT.
  • Muslim sebenar juga sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan amalannya. Segala gerak-geri hidupnya hanya untuk mencapai keredaan Allah dan bukan mengharapkan keredaan manusia.
  • Muslim sebenar turut mengambil kira tanggungjawabnya menunaikan segala rukun dan kewajipan Islam dengan sempurna tanpa melalaikannya atau mempermudah mudahkannya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar