Senin, 27 Desember 2010

Pemimpin cemerlang memiliki hikmah

Kesederhanaan ibu segala kelebihan melaksanakan urusan pentadbiran
HIKMAH atau kebijaksanaan adalah kurniaan terbesar Allah kepada manusia seperti dijelaskan dalam firman-Nya bahawa sesiapa yang dikurnia hikmah maka ia pada hakikatnya dikurnia kebaikan yang banyak.
Selain itu, al-Quran juga menceritakan kisah Luqman ibn Ba`ura (Luqman al-Hakim), hamba Allah yang dikurnia hikmah dan bagaimana hikmah dimanfaatkan oleh Luqman dalam kehidupannya terserlah melalui nasihat kepada puteranya.
Ibn Kathir menjelaskan Allah mengurniakan hikmah, iaitu petunjuk kepada Luqman untuk melakukan sesuatu berdasarkan ilmu serta kefahaman mendalam, bersyukur kepada Allah serta memuji-Nya atas segala nikmat dan kelebihan dikurniakan, suka melakukan kebaikan terhadap orang lain, selain membantu apa saja usaha kebaikan serta amal soleh.
Menurut riwayat, Luqman pernah membantu Nabi Daud dalam urusan pemerintahan dan menjadi hakim untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mizan al ‘Amal menegaskan bahawa hikmah dinisbahkan pada kekuatan akal. Kata beliau, hikmah dan tiga sifat lain iaitu keberanian, kesederhanaan dan keadilan adalah ibu segala kelebihan yang boleh melahirkan atau membentuk sifat terpuji lain.
Ciri kecemerlangan tertentu akan terpancar pada diri orang yang memiliki hikmah termasuk arif, kebijaksanaan dalam budi bicara; ketajaman fikiran, ketepatan pandangan, kepantasan kefahaman, kejelasan minda, kepantasan dan kemudahan dalam pembelajaran.
Hikmah dikatakan terhasil dalam jiwa apabila keupayaan fikiran menjadi mantap atau sempurna yang memberi maksud seseorang dapat membezakan antara benar dengan palsu, kepercayaan yang benar dengan salah dan antara tindakan benar dengan sebaliknya.
Hikmah atau kebijaksanaan dan keberanian, kesederhanaan serta keadilan yang diistilahkan sebagai ibu segala kelebihan adalah sifat utama yang mesti dimiliki pemimpin. Sifat utama inilah yang akan membimbing seseorang pemimpin melaksanakan urusan kepemimpinan dan pentadbiran negaranya dengan cemerlang.
Dengan hikmah contohnya, seseorang pemimpin akan didorong untuk sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat pimpinannya sehingga mengatasi kepentingan lain, hatta kepentingan dirinya sendiri.
Hikmah juga membolehkan ia membezakan antara tindakan atau keputusan yang akan membawa kebaikan kepada rakyat atau kemudaratan kepada kehidupan sehingga menyebabkan mereka ditimpa kesulitan yang tidak putus.
Selain itu, hikmah diperlukan oleh pemimpin dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu kemelut yang melanda negara serta rakyat dipimpinnya.
Merujuk kepada keadaan yang sedang melanda negara ketika ini, kelihatannya rakyat begitu mengharapkan supaya pimpinan negara dapat merumus tindakan penuh hikmah bagi melindungi kepentingan serta kebajikan mereka.
Mereka mengharapkan pemimpin dapat menunjukkan teladan terbaik dalam menangani kemelut sedang dihadapi. Mereka tidak sekadar memerlukan seruan mengubah gaya hidup supaya kemelut yang dihadapi dapat ditangani sebaik-baiknya.
Apa lebih diperlukan rakyat ialah bukti serta contoh yang jelas bahawa pemimpin sendiri menjalani kehidupan penuh sederhana dan ternyata sanggup mengorbankan kepentingan diri mereka demi memastikan rakyat tidak terjerumus dalam belenggu kesulitan dan penderitaan berpanjangan.
Bagi rakyat yang sudah terbiasa dengan kehidupan sederhana atau dibelenggu kemiskinan serta kedaifan, seruan supaya mereka mengubah gaya hidup sama sekali tidak memberikan sebarang makna kerana itulah bentuk kehidupan dijalani selama ini. Apatah lagi jika hanya mendengar seruan kosong tanpa sebarang bukti kukuh daripada pihak yang menuturkan nasihat berkenaan.
Apalah makna seruan itu kerana pada saat mereka berjuang bermati-matian bagi menyara diri dan keluarga, pemimpin dan anggota keluarga, penasihat serta pegawai utama kerajaan melayari kehidupan dilimpahi kemewahan dan keselesaan yang tiada sempadannya. Tidak mustahil bahawa isyarat yang diterima rakyat ialah hanya mereka saja perlu berkorban.
Contoh ditunjukkan Nabi Yusuf dalam mengurus pentadbiran kewangan negeri Mesir sebelum dan ketika bencana kemarau melanda amat wajar dijadikan teladan pemimpin negara ini. Selain kebijaksanaan baginda merancang penanaman bijirin selama tujuh tahun yang subur dan proses penyimpanan untuk jangka masa lama, Nabi Yusuf juga menunjukkan teladan baik kepada seluruh rakyat Mesir. Baginda, pemerintah dan tentera Mesir hanya makan sekali sehari, iaitu pada waktu tengah hari.
Zaman pemerintahan Sultan al-Mansur ‘Ali, pemerintah muda Dinasti Mamluk Mesir juga wajar dijadikan renungan dan teladan. Disebabkan bimbang dengan kemaraan tentera Tartar, pemerintah Aleppo meminta bantuan Mesir untuk mempertahankan negeri dan wilayahnya.
Ibn al-Adim, sejarawan terkenal datang ke Kaherah pada 657 Hijrah, sebagai utusan negeri Syria untuk memohon bantuan yang dimaksudkan. Pemangku raja, Qutuz lantas mengumpulkan semua pegawai kanan tentera, panglima perang, kadi dan pegawai kanan kerajaan lalu mengadakan mesyuarat.
Salah seorang kadi terkenal dan sentiasa diminta pandangannya juga menghadiri mesyuarat berkenaan. Beliau ialah Sultan al-’Ulama’ al-Izz ibn `Abdissalam bersama dengan ketua kadi. Jurucakap istana segera melaporkan kemaraan tentera Hulagu, penyerahan oleh segenap kota yang dilewatinya dan ketibaannya di Aleppo.
Jurucakap itu juga melaporkan bahawa Baitulmal sudah pun kosong dan tiada lagi simpanan. Sementara sultan yang memerintah pula masih lagi muda dan keamanan serta keselamatan negeri berada dalam keadaan bahaya.
Oleh demikian katanya, keutamaan paling penting pada masa itu ialah memilih pemimpin yang bertanggungjawab, disegani rakyat dan dapat berdiri teguh menghadapi musuh. Selain itu, Baitulmal memerlukan sumbangan orang ramai untuk membentuk tentera yang kuat dan menyediakan mereka dengan segala peralatan untuk mara menentang tentera Hulagu.
Lantas, Qutuz mengisytiharkan dirinya sebagai raja dan membuat keputusan memungut cukai yang besar daripada orang ramai untuk digunakan oleh tentera. Tiada sesiapa pun berani membantah kata-kata jurucakap istana.
Namun, dengan penuh ketegasan, Sultan al-`Ulama’ `Izz ibn `Abdissalam mengutarakan pandangannya. Kata beliau, “Jika musuh menyerang negara Islam, setiap individu wajib mempertahankannya.
Diharuskan untuk dipungut apa juga bentuk cukai yang diperlukan untuk membiayai peperangan bagi mempertahankan negara, dengan syarat, tidak ada walau satu pun senjata dan pelana bersepuh emas, hud bersulam cantik dan pedang dihiasi batu permata yang masih ada dalam Baitulmal; juga dengan syarat, kamu menjual semua barang kamu yang berharga; dan setiap tentera hanya memiliki senjata serta haiwan yang ditunggangnya dan ia setaraf dengan rakyat biasa. Akan tetapi, tidak dibenarkan (haram) sama sekali bagi kamu untuk memungut wang daripada rakyat sedangkan tentera kamu dibenarkan menyimpan barang-barang dan senjata mereka yang berharga.”
Raja Qutuz menerima pandangan Sultan al-`Ulama’ al-Izz ibn `Abdissalam dengan hati terbuka dan beliau seterusnya menasihati baginda dengan kata-katanya, “Jika kamu mengikut jalan yang benar, aku dapat menjamin bahawa kamu akan memenangi peperangan itu, dengan izin Allah.”
Nasihat diberikan Sultan al-`Ulama’ al-Izz bukan saja menyelamatkan rakyat tetapi memberikan semangat tinggi kepada raja, panglima tentera dan seluruh anggota tentera. Bahkan, segenap rakyat bangun dengan penuh semangat dan keberanian untuk mempertahankan negeri mereka. Seperti dijangka, tentera Islam yang bertembung dengan tentera musuh di Palestin akhirnya mencapai kemenangan besar.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar