Senin, 27 Desember 2010

Konsep ihsan

Setiap Muslim hendaklah menyempurnakan amalan ibadat bertepatan ajaran Islam.
Amalan secara menyeluruh bantu manusia capai matlamat jadi individu bertakwa
IHSAN adalah satu daripada tonggak yang sama-sama menegakkan kerangka agama Islam seiring dengan iman. Namun, ramai umat Islam sekarang memandang remeh konsep ihsan sehingga tidak mengambil endah kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Jika diteliti secara mendalam, ihsan sama penting seperti iman dan Islam dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang Muslim, sama ada bahagia di dunia dan akhirat atau sebaliknya.
Ihsan ialah berbuat baik atau berbuat sebaik mungkin, manakala dalam pengertian istilah, ihsan dapat didefinisikan sebagai ajaran atau konsep yang mendukung etika kerja yang baik.
Berdasarkan kepada perspektif ini, ihsan dapat difahami sebagai satu produktiviti kerja secara optimum, iaitu bekerja dan melaksanakan sesuatu tugas sesuai dengan hasil sumbangan yang terbaik serta berkualiti tinggi.
Justeru, orang beriman diperintahkan berbuat ihsan seperti Allah berbuat ihsan kepada umat manusia sejagat. Allah berfirman yang bermaksud: “Berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah).” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Sejauh penggunaannya dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, kalimah ihsan selalunya dihubungkaitkan dengan Allah dan manusia sejagat.
Konsep ihsan sebenarnya menjurus kepada dua matlamat iaitu ihsan dalam ibadat dan ihsan dalam muamalat.
Ihsan dalam ibadat ialah beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tawaduk di samping bersifat ikhlas kepada-Nya seolah-olah berasa pada saat dan ketika itu berhadapan dengan Allah.
Jika perasaan seumpama timbul dan menyerlah dalam diri manusia, sudah tentu mereka gerun serta takut untuk melanggar larangan Allah kerana berasakan kehadiran Allah yang sentiasa mengawasi setiap gerak geri dan perbuatan mereka setiap detik.
Itulah ihsan sebenarnya seperti ditegaskan Rasulullah SAW apabila Baginda didatangi malaikat Jibril yang bertanyakan mengenai Islam, iman dan ihsan. Baginda menjelaskan, “Ihsan itu ialah hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Setiap Muslim hendaklah menyempurnakan segala amalan ibadat sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah dan sunnah Rasulullah SAW.
Wadah ini penting supaya amalan diterima tanpa sebarang cacat cela dan memperoleh ganjaran berlipat ganda di sisi Allah.
Ibadat solat contohnya, setiap Muslim dituntut memelihara segala syarat dan rukun solat dengan sempurna di samping dituntut khusyuk serta tawaduk supaya solat itu dapat mencegahnya daripada kemungkaran dan maksiat.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Perlu diingat bahawa konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan Allah semata-mata, malah ihsan juga merangkumi perbuatan dan perlakuan sesama manusia, sama ada bersangkutan perkara duniawi atau ukhrawi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (Hadis riwayat Muslim)
Imam al-Asfahani mentafsirkannya ihsan dalam muamalat dengan dua pengertian, iaitu memberikan limpahan nikmat untuk kesejahteraan dan kepentingan pihak lain, selain mempertingkatkan kualiti kerja.
Pengertian pertama dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam komuniti Islam.
Dalam lingkungan kekeluargaan, setiap unit dalam keluarga iaitu ibu, bapa, anak, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab serta rasa saling hormat menghormati.
Seorang anak tidak boleh sama sekali mengecewa dan mengecilkan hati ibu bapanya. Ibu bapa pula hendaklah mendekati anak dengan penuh kasih sayang dan mendidik supaya mereka menjadi Muslim yang salih dan bertakwa kepada Allah.
Wujudnya keadaan itu, cita-cita melahirkan institusi keluarga yang menepati slogan rumahku syurgaku pasti tercapai dengan izin Allah.
Dalam lingkungan kemasyarakatan pula, setiap anggota masyarakat perlu mempunyai rasa tanggungjawab seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seseorang Muslim adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain. Janganlah kamu menzaliminya, jangan pula menghinanya dan juga jangan merendahkan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksud ihsan adalah menyeluruh, bukan sekadar kepada fakir miskin, malah meliputi segala aspek kehidupan dan diberikan kepada semua lapisan manusia tidak kira kaya atau miskin.
Golongan fakir miskin dan anak yatim seharusnya diberikan bantuan sewajarnya bagi meringankan kesusahan mereka. Begitu juga orang kaya atau berada yang ditimpa kesusahan diberikan bantuan sepatutnya bagi melepaskan mereka daripada belenggu kesempitan hidup
Orang sakit pula hendaklah dibantu dengan mengiringnya ke hospital untuk mendapat rawatan.
Begitulah antara makna konsep ihsan yang wajib diterapkan dalam pentas kehidupan manusia untuk mewujudkan masyarakat harmoni, sejahtera serta diredai Allah.
Tidak dilupakan, ihsan juga dianjurkan terhadap binatang. Imam Muslim pernah meriwayatkan satu hadis bahawa Saidatina Aisyah bersama Rasulullah SAW ketika dalam satu perjalanan jauh, menunggang unta yang susah hendak dikendalikan.
Lalu Saidatina Aisyah memalingkan unta itu ke kanan dan ke kiri. Rasulullah SAW menegurnya lalu bersabda yang maksudnya: “Wahai Aisyah! Kamu hendaklah menaruh kasihan belas (berihsan). Sesungguhnya apabila ihsan masuk ke dalam sesuatu, maka hendaklah ia menghiasinya. Dan apabila ihsan terkeluar daripada sesuatu, maka ia akan rosak.”
Pengertian kedua daripada skop ihsan dalam muamalat yakni mempertingkatkan kualiti kerja amat bergantung kepada dua syarat utama iaitu ilmu pengetahuan menyeluruh dan ketrampilan kemahiran yang mantap.
Tanpa kedua-dua syarat itu, tidak akan lahir perbuatan atau kerja yang berkualiti ihsan.
Ihsan sebagai satu konsep yang menjurus ke arah hasil kerja yang optimum menuntut setiap Muslim kepada tiga perkara :
l Bekerja atau melakukan sesuatu kerja dengan sebaik mungkin selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik).” (Hadis riwayat Baihaqi)
l Menguasai ilmu pengetahuan dan mengetahui kemampuan diri yang berkaitan dengan tugas dan kerja sehingga dapat menyempurnakan kerja dengan jayanya serta tepat pada masanya. Ilmu dan kelayakan seseorang antara kriteria utama menjamin kejayaan sesuatu kerja yang dilakukan.
l Ikhlas dan benar dalam kerja dan amalannya. Seorang ulama salaf iaitu Fudhail bin ‘Iyadh pernah ditanya makna ikhlas dan benar dalam amalannya. Beliau menjawab: “Sesungguhnya amal yang benar tapi tidak dilakukan dengan ikhlas, tidak akan diterima Allah. Begitu juga jika dilakukan dengan ikhlas tapi tidak dengan cara yang benar juga tidak diterima.
Jadi, amal itu hanya akan diterima jika ikhlas dan benar. Ikhlas hanya akan wujud jika amal dilakukan hanya kerana Allah, manakala amal yang benar pula hanya boleh diperoleh dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW.”
Demikianlah konsep ihsan yang perlu difahami, dihayati serta dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan. Penghayatan secara menyeluruh terhadap konsep ihsan membolehkan manusia mencapai matlamat yang diimpikan ke arah melahirkan individu bertakwa.
Firman Allah yang bermaksud: “Negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’, ayat 15)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar